Sabtu, Oktober 09, 2010

Penemuan terbaru hapus wabak "poo-e-c-phobia" ......

Sebagai pelajar jurusan Pengajian Islam dan Bahasa Arab, biasanya kita akan menghadapi satu subjek yang seringkali dianggap membebankan iaitu Sastera Arab.

Apa yang paling menambahkan rasa gemuruh ialah dia terpaksa membaca bait-bait syair atau puisi Arab yang sulit difahami maksudnya. Inilah yang dinamakan sebagai poo-e-sea-phobia atau puisifobia iaitu sejenis wabak yang membimbangkan ramai pelajar kita sejak zaman-berzaman.

Untuk mengatasi masalah ini, pihak kami Penalughawi Consultancy mencadangkan beberapa persediaan yang perlu dan wajib ada bagi pelajar itu supaya mampu membaca teks puisi Arab yang penuh dengan gubahan ayat-ayat yang indah dan susunan kata yang mempesona sehingga memukau emosi sesiapa sahaja yang memahami maksudnya.

Perlu diingat, jika anda berhadapan dengan apa sahaja sumber bacaan berbahasa Arab tidak kira sama ada bahan bacaan klasik (thurath) atau pun moden (mu'asir), mahu atau tidak mahu, anda pasti berjumpa dengan bait-bait puisi itu. Kalau ada masalah, cubalah hadapi kerana lari daripada masalah bermakna anda tak akan jumpa jalan penyelesaian. Berpantang maut sebelum ajal. Sekali melangkah, pantang berundur. Lawan tetap lawan.
Inilah dia beberapa perkara yang perlu anda sediakan:

1) Kemahiran Nahu dan Sarf ( Sintaks dan Morfologi ).
2) Kemahiran Balaghah ( Retorik ) dengan 3 bahagiannya iaitu Bayan, Ma'ani dan Badie'.
3) Kemahiran Arudh dan Qawafi ( Prosodi dan Rima ).
4) Kemahiran Lahajat dan Qiro'at ( Dialektologi ).

Sekarang, mari kita kupas dan hurai satu demi satu.

1) Kemahiran Nahu dan Sarf ( Sintaks dan Morfologi ).
Sarf -secara mudahnya- merupakan ilmu bahasa Arab yang berfungsi membentuk satu perkataan kepada beberapa jenis perkataan yang lain dengan menggunakan kata akar ( root word ) yang sama. Contohnya: tulis dan kata akarnya ka-ta-ba (كتب)
telah menulis==> ka-ta-ba(كتب)
sedang menulis==>yak-tu-bu(يكتب)
tulislah==>uk-tub(اكتب)
penulisan==>ki-ta-batun(كتابة)
penulis==>ka-tibun(كاتب)
tulisan atau benda yang ditulis==>mak-tu-bun(مكتوب)

Nahu pula berfungsi untuk mengawal baris pada huruf terakhir bagi setiap kalimah sama ada baris atas, baris bawah, baris depan, baris sukun dan baris tanwin { baris belakang ada tak? ya, ada, tapi bagi yang datang lambat...hihihi} . Contoh terdekat ialah Al-Quran yang anda baca setiap hari. Perhatikanlah baris akhir setiap kalimahnya. Memang berbeza.

2) Kemahiran Balaghah ( Retorik ) dengan 3 bahagiannya iaitu Bayan, Ma'ani dan Badie'.
Ya, ilmu inilah yang banyak memainkan peranan dalam menentukan maksud sesuatu ungkapan. Untuk penerangan lebih lanjut, sila baca ini dan ini.

3) Kemahiran Arudh dan Qawafi ( Prosodi dan Rima ).
Ilmu ini ibarat matematik, di dalamnya ada aktiviti-aktiviti seperti penambahan (penambahan huruf atau suku kata) , penolakan(buang huruf atau suku kata), pembahagian ( wujud hubungkait atau tidak antara satu bait dengan bait yang sebelum dan selepasnya).

4) Kemahiran Lahajat dan Qiro'at ( Dialektologi ).
Ilmu ini tidak memaksa anda menjadi ahli dan pakar qiroat sepuluh, tetapi ia hanya mengkaji dialek qabilah Arab yang ada terutamanya dalam periwayatan syair lebih-lebih lagi dalam pembacaan Al-Quran.
Contohnya ada qabilah Arab yang membaca huruf Mudhori' dengan kasrah (baris bawah) seperti Rabi'ah dan Tamim.
Ada qabilah lain yang dikaitkan dengan menukar ha menjadi ain contohnya kalimah hattaحتى dibaca dengan 'atta عتى.
Terdapat juga pembuangan huruf hamzah di akhir kalimah yang disebut sebagai tashil contohnya kalimah samaسماء yang bermaksud langit, dibaca tanpa hamzah=سما,sebagai menurut undang-undang wazan Arudh. Ada juga yang menggugurkan sebutan ta marbuthoh pada najah=نجاة, menjadi naja=نجا. Begitulah seterusnya.

Akhir sekali. Pakar-pakar Bahasa Arab yang berbangsa Melayu baru-baru ini telah berjaya menjumpai satu teknik yang efektif untuk memahami bait-bait puisi tanpa perlu ada rasa gerun atau lemah semangat. Sebuah rumus atau formula khas telah direka oleh pakar untuk diberikan kepada para pelajar. Tiada bayaran diperlukan tetapi mereka perlu menyediakan jiwa kental yang jahil erti putus asa.Ini rumusnya, in sya ALLAH mujarrab:
{ a( b+c)(d)=F}

{ serang(rapat 2 syatr+kepung)(empat kemahiran )= faham maksud bait }

Caranya begini.
Dalam satu bait puisi arab, biasanya ia mempunyai dua sayap kiri dan kanan atau dalam bahasa ilmu Arudh wa qawafi : syatrun awwal dan syatrun thani.
Posisi setiap satu saling berjauhan sehingga wujud satu ruang kosong di bahagian tengah dan di tengah itulah "kelemahan sebenar" pihak penyerang . Begini bentuk lakaran amnya:

(..................................... *** ..............................................)

Contoh bait:
مَوْلاَيَ صَلِّ وَسَلِّمْ دَائِمًا أَبَدَا*** عَلَى حَبِيْبِكَ خَيْرِ الْخَلْقِ كُلِّهِمِ

=Rapatkan antara dua syatr tadi sehingga menjadi satu ayat bersambung begini.

مَوْلاَيَ صَلِّ وَسَلِّمْ دَائِمًا أَبَدَا عَلَى حَبِيْبِكَ خَيْرِ الْخَلْقِ كُلِّهِمِ

=Kemudian mulakan misi terjemahan kalimah demi kalimah . Teknik ini kita namakan sebagai teknik KEPUNG DAN SERANG. Kepung kemudian selesaikan satu demi satu.Selagi anda tidak mencapai makna yang lengkap, lakukan cara yang sama untuk bait seterusnya.

Peringatan bagi pesakit: Kadar kejayaan formula ini sangat bergantung kepada sejauh mana ketenangan kondisi dan enviromen tempat pembacaan dilakukan. Pencemaran bunyi menggagalkan unsur-unsur dalam formula tersebut untuk menunjukkkan kesan positif. Semakin tenang enviromen, maka semakin positif tindakbalas unsur dalam formula itu. Selamat berjaya.

Tiada ulasan: