Jumaat, Januari 22, 2010

Mari belajar deklamasi puisi dengan nada arab...

Berita gembira untuk anda...
para guru Bahasa Arab,
para guru matapelajaran Arudh & Qawafi,
para guru yang ingin melatih muridnya
mendeklamasi puisi arab....

INI DIA LAMAN YANG BAGUS UNTUK MENDENGAR DEKLAMASI PUISI DENGAN INTONASI ARAB BERDASARKAN JENIS BAHAR....


Rabu, Januari 20, 2010

Lihat gambar ini dan buat penelitian...

CIAO , BUONJORNO !

Kalau ditanya, apa beza antara Ilmu Bayan, Ma'ani dan Badie' dalam Balaghah?

Mesti ada yang jawab:
"Entahlah",atau :
"Semua macam sama aje".

Kalau semua macam sama saja, nescaya pembahagian tadi hanyalah sia-sia. Tiada gunanya. Ini mesti ada maksud tersirat di sebalik setiap satu daripada bahagian itu.

Mudah saja.

Ilmu Bayan bersifat penerang yang nak menceritakan bagaimana benda A serupa dengan benda B, berdasarkan titik persamaan yang dimiliki oleh kedua-dua belah pihak. Sebab itulah ada bab Tasybih, Majaz Mursal, Istiarah dan Kinayah. Adapun perbezaan antara keempat-empat akan diterangkan dalam babnya nanti.

Sebab itu penulis menggunakan gambar lampu belajar yang menerangi sebagai simbol Ilmu Bayan.

Ilmu Ma'ani berfungsi untuk mengajar kita bagaimana memahami makna dari lafaz mesej yang diterima dan bagaimana menyampaikan mesej kepada penerima yang terdiri daripada pelbagai tahap pendidikan, umur, pemikiran dan sebagainya.

Sebagai contoh, seorang budak nakal berumur 5 tahun suka memanjat pokok manggis di halaman rumahnya. Ibunya yang agak garang berkata kepadanya: " Ha, panjatlah lagi, panjat tinggi-tinggi, panjat, panjat!" dengan nada marah. Kesannya, budak itu berhenti memanjat kerana dia faham lafaz fi'il amar "panjatlah" bukan bermakna suruh berbuat secara mutlak akan tetapi lafaz tadi bermaksud suruh berhenti daripada perbuatan itu .

Maknanya, bukan fi'il amar itu hanya bermaksud suruh buat saja, tapi ada juga makna lain seperti larangan, herdik, celaan dan lain-lain. Nah, di sini kita akan lihat kaitan Balaghah dengan Usul Fiqh. Ini sedikit gambaran, ada banyak lagi. Kaji Ilmu Usul Fiqh dan Balaghah, anda pasti seronok membaca Al-Quran.

Sebab itu penulis menggunakan gambar mesej sms telefon bimbit sebagai simbol Ilmu Ma'ani.

Ilmu Badie' pula mengajar kita bagaimana menghias ayat dengan bunga-bunga pelbagai jenis seperti tibaq, jinnas, tawriyah dan banyak lagi yang mempunyai nilai bunyi yang indah didengar dan menarik perhatian. Bak kata mat rempit: "jom kita meng-ayat...".

Sebab itu penulis menggunakan gambar bunga berwarna- warni sebagai simbol Ilmu Badie'.

Sekian, semoga berjaya membezakan ketiga-tiga bahagian, selamat belajar, selamat mengkaji, selamat studi, panjang umur In-Sya ALLAH jumpa lagi.
ARRIVADERCI!








Ahad, Januari 10, 2010

Universiti Al-Balaghah Al-Arabiyyah...



Ilmu Balaghah mempunyai tiga bahagian:
1- Ilmu Bayanعلم البيان
2- Ilmu Ma'ani
علم المعانى
3- Ilmu Badee'
علم البديع

Ilmu Balaghah sebenarnya tidaklah sesusah mana. Kunci paling penting dalam proses mempelajari ilmu ini hanyalah kemahiran NAHU & SARF dan HATI yang tenang( orang tempat kita kata: "hati seng ayem").

Maknanya, jika kita mahu mengkaji ilmu ini dan mahu memahaminya, kita mestilah menyediakan persekitaran yang baik, tenang, tidak terburu-buru dalam membaca teks yang terdapat dalam kitab-kitab bidang ini .

Oleh itu, sebelum memulakan langkah, pastikan kita sudah selesaikan urusan kita dengan perkara-perkara lain.

Hal ini kerana Balaghah menuntut kita supaya bersedia untuk meneliti, merenung, menghayati dan menikmati keindahan bahasa yang tersimpan di sebalik setiap huruf, kalimah dan ayat yang digunakan sebagai dalil dan contoh bagi setiap perbahasannya. Apa saja perkara dan urusan pun, sebenarnya kita perlu menghadapinya dengan hati yang tenang. Kata guru kami satu masa dahulu : "Ketenangan adalah kemenangan pertama". Terima kasih guru.

Ada sahabat kita mengatakan :
" Baca AL-QURAN dengan Ulama'
Baca NAHU dengan Mata ,
Baca SARF dengan Telinga ,
Baca BALAGAH dengan Jiwa " .

Ertinya: Al-Quran itu mesti dibaca dengan ulama ilmu Qiroat, barulah betul bacaan kita, barulah betul panjang pendeknya, barulah kenal waqaf dan ibtida'nya, barulah sempurna dengungnya, barulah tepat tebal nipis hurufnya...

...dan Nahu itu mesti dibaca dengan melihat kalimah-kalimahnya, adakah dia isim mufrad, muthanna, atau jama', atau isim ghoiru munsorif, atau al-amsilatul khomsah, atau isim maqsur atau yang lainnya.Barulah mudah ditentukan alamat i'rabnya...

...dan Sarf itu mesti dibaca dengan deria pendengaran yang tajam lagi peka, supaya berhasil menangkap bunyi-bunyi baris pada setiap huruf dalam kalimah-kalimah, sama ada fathah atau dhommah atau kasroh atau sukun, supaya mampu membezakan mana satu isim fa'il ghairu thulathi dan mana satu isim maf'ul ghoiru thulati dan begitulah...

....dan Balaghah itu mesti dibaca dengan hati kerana gambaran atau objek itu terbahagi kepada dua macam.

Pertama, jenis yang boleh dilihat dengan deria penglihatan yang berada di kepala setiap insan daripada kita. Itulah yang dinamakan objek konkrit iaitu yang boleh dicapai dengan salah satu deria yang lima (sentuh, rasa, lihat, dengar & hidu ). Contohnya, matahari, bulan, awan, sungai, unta, singa, mutiara dan lain-lain.

Kedua, jenis yang hanya boleh dicapai dengan mata hati sahaja. Itulah yang dipanggil objek abstrak. Contohnya kehidupan, kematian, keilmuan, keikhlasan, kebencian dan sebagainya.

Bacalah firman Allah Ta'ala dalam
Juz 26, Surah ke- 51 'Az-Zariyat', ayat 21 :
"And also in your ownselves .Will you not then see ? "

dan perhatikan

Juz 29 , Surah ke-67 'Al-Mulk' , ayat 23 :
" Say: "It is He Who has created you , and endowed you with hearing ( ears
) and seeing (eyes) , and hearts . Little thanks you give ".

Allah Ta'ala telah memerintahkan kita supaya melihat tanda-tanda keagunganNya yang terdapat pada kejadian manusia iaitu diri kita sendiri. Tujuannya adalah untuk menjadikan kita ini insaf dan sedar bahawa kita hanyalah makhluk Allah dan Allah itulah tuhan sekalian alam ini, yang layak disembah bukan pula yang lain. Dan supaya kita sedar dari mana kita datang, untuk apa kita datang, ke mana kita akan pulang seterusnya berusaha untuk mencapai matlamat haqiqi dan tujuan tunggal kehidupan kita di atas muka bumi ini ....

Allah Ta'ala bukan sekadar memerintahkan kita merenung bahkan membekalkan untuk kita segala perkakasan yang sesuai dengan matlamat itu, lalu dipinjamkan kepada kita mata untuk melihat, telinga untuk mendengar dan hati untuk mentafsir dan berfikir.

Mata yang letaknya di wajah kita berfungsi sebagai skrin zahir atau layar haqiqi. Segala objek yang dilihat oleh mata di alam nyata, akan ditangkap oleh skrin mata iaitu retina lalu dihantar isyarat ke otak untuk dianalisa. Adapun mata hati, maka ia pula berperanan sebagai skrin batin atau layar majazi.

Kata ahli hikmah:
"Pandangan mata selalu menipu ,
pandangan akal selalu tersalah ,
pandangan nafsu selalu melulu ,
pandangan hati itu yang haqiqi, kalau hati itu bersih".

Seperti yang telah kita sebut sebelum ini, tidak semua objek boleh muncul di skrin zahir. Sebagai contoh, kalau disebut perkataan
'benang', kita akan dapat bayangkan bagaimana rupabentuk benang kerana sebelum ini kita pernah melihatnya di alam nyata.

Lain pula halnya kalau disebut 'benang-benang kebencian yang melilit-lilit jantung...', maka kita hanya akan dapat melihatnya dengan skrin batin atau mata hati atau layar majazi, bukan dengan mata kasar. Ini kerana '
benang- benang kebencian' tidak pernah muncul di alam nyata atau di pasaran, atau dikeluarkan oleh mana-mana kilang benang pun di atas muka bumi ini. Ia hanya mampu dilihat dengan menggunakan daya imaginasi atau khayalan .

Oleh kerana ilmu Balaghah sangat sarat dengan perkara -perkara yang melibatkan perkhidmatan mata hati dan daya imaginasi, maka sebab itulah kita sangat menitikberatkan persekitaran yang baik, fizikal dan mental yang rehat, emosi yang tenang, dan suasana yang melapangkan fikiran, bagi memastikan kefahaman yang memuaskan terhadap apa yang dikaji dalam subjek tersebut (bukannya esok nak imtihan Balaghah, malam ini baru terkeseng-keseng nak baca! Macam mana nak dapat cemerlang?). Dan supaya kita mensyukuri nikmat-nikmat kurniaan Allah seperti mata, telinga, hati dan lain-lain lagi yang tak terhitung banyaknya ...

....BERSAMBUNG.....